Tuesday, May 17, 2016

SINOPSIS BAB 1-5 DARAH TITIK DI SEMANTAN

SINOPSIS BAB 1-5 DARAH TITIK DI SEMANTAN

 Bab 1
Cemas Tengah hari itu, Zahid, Samad, Rahman, dan Awang Muhammad berjalan ke Masjid Lubuk Terua. Mereka melalui kebun kelapa dan dusun buah-buahan. Mereka berempat tidak berbual dan hanya melayani perasaan masing-masing. Zahid terkenang akan Datuk Bahaman, Orang Kaya Semantan yang telah banyak berubah sejak pulang dari Pulau Tawar. Dahulu, setiap malam selepas menyelia Mat Lela dan Datuk Panglima Raja Awang Ishak mengajar silat di gelanggang, Datuk Bahaman bercerita tentang pahlawan-pahlawan Melayu yang terbilang tetapi sekarang tidak lagi. Tiba-tiba, Samad bertanya kepada anak bongsu Datuk Bahaman, Awang Muhammad tentang perubahan sikap Datuk Bahaman. Awang Muhammad hanya menggelengkan kepalanya. Antara mereka berempat, Rahmanlah yang lebih mengerti tentang hati dan budi Datuk Bahaman kerana Rahman bekerja dengan Datuk Bahaman sebagai jurutulis pelatih. Menurut Rahman, Datuk Bahaman memikirkan perjanjian antara Inggeris dengan raja. Dalam perjanjian itu, banyak perkara yang dirunding dan diputuskan tidak dimasukkan. Hal ini menyebabkan Datuk Bahaman marah kepada Inggeris. Setibanya mereka di simpang jalan ke tebing sungai, mereka terjumpa dengan Mat Lela. Mereka meneruskan perjalanan sambil berbual tentang ketamakan Inggeris kerana mereka memunggah emas dan bijih timah dari negeri itu ke negeri mereka serta memungut cukai dan memeras rakyat tempatan. Perbualan mereka terhenti setelah tiba di halaman masjid. Zahid dan rakan-rakannya masuk dan duduk di bahagian tengah masjid sementara Mat Lela ke bahagian depan dan duduk di sebelah Datuk Panglima Raja Awang Ishak. Kelihatan juga Imam Perang Weh yang duduk bersebelahan dengan Datuk Bahaman. Selepas sembahyang, Datuk Bahaman menyampaikan nasihatnya kepada para jemaah supaya bangkit menentang Inggeris. Datuk Bahaman menyeru rakyatnya agar menentang Inggeris setelah dada penuh dengan ilmu dan kepandaian. Oleh itu, Datuk Bahaman meminta rakyatnya meningkatkan latihan dan ajaran agama. Zahid dan rakan-rakannya bercadang untuk membina kubu di pangkal (Merbau Berdarah' di tebing Lubuk Sengarat. Semasa mereka berbincang tentang perancangan mereka membina kubu itu, Mak Long Esah, ibu Samad tiba dalam keadaan tergesa-gesa untuk memaklumkan bahawa Inggeris sudah sampai di Lubuk Terua. Berita kedatangan Inggeris ke Lubuk Terua merebak ke seluruh tempat. Penduduk-penduduk kampung bersiap sedia dengan keris mereka dan menunggu perintah daripada Datuk Bahaman.

 Bab 2
Lubuk Terua Tergugat Darah Zahid berderau apabila melihat empat buah perahu yang penuh dengan papan dan atap nipah tertambat di tebing sungai bersetentang dengan dusun Datuk Panglima Raja Awang Ishak. Setelah mendapati ibu dan ayahnya sudah ke sawah, Zahid ke rumah Samad. Kemudian, mereka ke rumah Rahman tetapi Rahman telah keluar lebih awal ke rumah Datuk Bahaman. Seterusnya, mereka ke rumah Awang Muhammad. Tujuan mereka berjumpa adalah untuk berbincang tentang kerja-kerja menggali kubu di Lubuk Sengarat. Selepas itu, mereka bergerak ke rumah Datuk Bahaman. Dalam perjalanan ke rumah Datuk Bahaman, mereka terserempak dengan Pak Long Abas dan Datuk Panglima Raja yang menghala ke rumah Datuk Bahaman. Sebaik sahaja Datuk Panglima Raja dan Pak Long Abas tiba, Datuk Bahaman keluar ke serambi rumahnya. Datuk Panglima Raja melepaskan kemarahannya terhadap tindakan Inggeris menceroboh Semantan dan menggunakan kawasan dusun duriannya sebagai tempat mereka bertapak kepada Datuk Bahaman. Pak Long Abas memohon kebenaran Datuk Bahaman supaya membenarkannya dan rakan-rakannya mengamuk di Semantan. Walau bagaimanapun, Datuk Bahaman menyabarkan mereka kerana persiapan mereka untuk menyerang Inggeris belum lagi cukup. Bagi Datuk Bahaman, tiada gunanya berperang kalau untuk kalah. Datuk Bahaman menyatakan bahawa dia berasa terhina kerana Syres tidak menemuinya sebelum menggali kubu dan membina rumah pasung di kawasannya. Walau bagaimanapun, Datuk Bahaman memberitahu pengikutnya bahawa Inggeris tetap akan ditentang setelah menghadap sultan. Setelah mendengar kata-kata Datuk Bahaman, Datuk Panglima Raja dan Pak Long Abas berjanji akan terus menyokong Datuk Bahaman. Datuk Bahaman juga memuji Zahid dan rakan-rakannya kerana tindakan mereka hendak membina kubu di pangkal merbau berdarah di tebing Lubuk Sengarat. Selain itu, Datuk Bahaman juga meminta mereka berempat menyiapkan bambu runcing untuk digunakan dalam peperangan nanti. Dalam perjalanan ke Lubuk Sengarat, Zahid dan rakan-rakannya mengikut jalan di tepi tebing sungai dan mereka dapat melihat di seberang sungai, mata-mata Inggeris sedang sibuk menggali kubu panjang di atas tebing yang menghadap ke rumah Datuk Bahaman.

 Bab 3
Mencari Penyelesaian Rahman mengikut ayahnya, Datuk Bahaman dan Datuk Panglima Raja ke Johor. Zahid tertanya-tanya akan sebab mereka ke Johor. Menurut Samad, mungkin mereka ke sana untuk mengadukan hal Inggeris yang mendesak raja menurunkan tandatangan pada perjanjian tersebut. Zahid pula mengagak Datuk Bahaman ke Johor kerana hendak membeli senapang kopak dan peluru yang banyak dijual di pasar gelap di Singapura. Samad mengusulkan cara berkawal semasa ketiadaan Rahman. Zahid dan Awang Muhammad bersetuju dengan cadangan Samad supaya mereka bertiga keluar meronda bersama-sama. Zahid menyangkal kata-kata Samad bahawa pokok merbau berdarah ada penunggu. Zahid berpendapat bahawa hantu itu ada di dalam hati dan haruslah ditentang supaya tidak dipengaruhi perasaan malas, hasad dengki, dan besar diri. Tiba-tiba, Awang Muhammad mengajak Zahid dan Samad keluar meronda ke Mempatih. Mereka ingin melihat persiapan budak-budak sebaya dengan mereka di sana. Setelah sampai di belukar di dusun durian di Mempatih, mereka melihat Rahmad dan kawan-kawannya sedang bermain sembunyi-sembunyi. Rahmad mengajak Zahid dan rakan-rakannya bermain bersama-sama. Zahid berkata kepada Rahmad bahawa sekarang bukan masa untuk bermain-main sebaliknya berlatih untuk bermain senjata atau membaling bambu runcing kerana peperangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Semasa berada di kubu, Zahid dan rakan-rakannya melihat dua buah perahu yang dikayuh oleh empat orang Melayu. Perahu pertama membawa seorang Inggeris dan tiga orang mata-mata Inggeris. Perahu kedua pula membawa empat orang mata-mata Inggeris. Awang Muhammad menghalang Samad supaya tidak menyerang mereka kerana ayahnya tidak berada di Semantan ketika itu. Zahid dan rakan-rakannya pergi ke rumah Tuk Muda Bidin untuk melaporkan peristiwa tersebut. Setelah mendengar berita itu, Tuk Muda Bidin menukar pakaian dan menuju ke sebelah hulu. Mat Lela mengatakan bahawa orang Inggeris itu mungkin Owen yang datang untuk membanci penduduk di situ atau hendak menakut-nakutkan mereka.

 Bab 4
Budi Kedapatan Awang Muhammad mengajak Zahid dan Samad ke Mempatih. Semasa tiba di kawasan dusun durian, Zahid dan Samad terkejut apabila melihat kawasan semak di dusun itu bertukar menjadi padang kecil. Kehairanan mereka terjawab apabila Rahmad mengatakan bahawa dia dan rakan-rakan menjadikan kawasan itu sebagai tempat untuk latihan membaling bambu runcing. Rahmad juga menerangkan bahawa mereka juga belajar silat dengan Abang Lajis. Zahid memuji tindakan Rahmad dan rakan-rakannya. Zahid, Samad, dan Awang Muhammad hendak meneruskan rondaan mereka ke sebelah hilir, tetapi diingatkan oleh Rahmad tentang kehadiran dua orang pemuda Melayu yang tidak dikenali. Semasa tiba di hujung kampung dan berdekatan dengan rumah Lajis, Zahid dan rakan-rakannya mendengar suara perempuan meminta tolong. Zahid melihat dua orang pemuda sedang mengepung Kak Minah, iaitu isteri Lajis. Zahid, Samad, dan Awang Muhammad bergelut dengan dua orang pemuda itu. Tiba-tiba, muncul Datuk Bahaman, Rahman, dan Datuk Panglima Raja di situ. Datuk Bahaman menyoal dua orang pemuda itu. Kedua-dua orang pemuda itu mengatakan bahawa mereka ke Lubuk Terua untuk membuat bancian atas arahan Owen. Datuk Bahaman menghalau kedua-dua orang pemuda itu dari situ. Sebelum itu, Datuk Bahaman mengingatkan mereka supaya tidak menjadi pengkhianat bangsa sendiri. Setelah kedua-dua orang pemuda itu pergi, mereka dipeluk oleh Datuk Bahaman dan Datuk Panglima Raja. Awang Muhammad bertanya kepada ayahnya tentang hasil perjumpaan ayahnya dengan Gabenor Singapura. Menurut Datuk Bahaman, Gabenor Singapura hanya mengakui apa-apa yang ditulis dalam perjanjian sahaja dan hakikatnya mereka tidak berpegang pada janji kerana banyak perkara yang dipersetujui tidak dinyatakan dalam perjanjian. Tidak lama kemudian, Lajis dan Rahmad tiba. Setelah mendengar cerita daripada Samad tentang kejadian yang menimpa isterinya, dia naik angin dan bersumpah akan menentang Inggeris. 

Bab 5
Inggeris Mencabar Lagi Samad tertanya-tanya akan kedatangan Syres ke Lubuk Terua. Samad berpendapat bahawa terdapat dalam kalangan orang Semantan yang menjadi hantu Inggeris dengan melaporkan kegiatan anak-anak muda di situ kepada Inggeris Lajis datang ke kubu Zahid untuk mengucapkan terima kasih kepada Zahid dan rakan-rakannya yang telah menyelamatkan isterinya. Lajis memberitahu Zahid dan rakan-rakannya bahawa peristiwa tempoh hari telah menyedarkan dia untuk bangkit menentang Inggeris. Lajis telah bermuafakat dengan Pak Uda Ismail untuk mendirikan bengkel untuk membuat bedil. Menurut Lajis, Datuk Bahaman juga memberikan jaminan bahawa beliau telah berjumpa dengan seorang saudagar Melayu yang sanggup membekalkan besi untuk dibuat laras bedil. Datuk Bahaman telah menyuruh ayah Samad, iaitu Pak Long Abas mencari rotan yang akan dijual dan hasil jualannya akan diberikan kepada saudagar Melayu itu. Lajis memberitahu Zahid dan rakan-rakannya bahawa Datuk Bahaman meminta dia menjadi pengintip di Kuala Semantan. Dia dan Rahmad akan menjadi pekerja kedai kopi di pekan itu. Segala gerakan pihak Inggeris akan dimaklumkan kepada Datuk Bahaman. Sebelum pulang, Lajis memberitahu Zahid dan rakan-rakannya bahawa Datuk Bahaman mahu semua orang berkumpul di masjid pada malam itu untuk bacaan surah Yasin.

6 comments: