Monday, September 2, 2019

DOA PERTEMUAN GURU-GURU BARU


Ya Allah , Ya ‘Azizi Ya Sattar Ya Fa’alullima Yurid,
Kami rafa’kan kesyukuran penuh pengharapan, kurniakanlah pertemuan kami ini dengan keberkatan dan limpahan rahmat Mu, agar kami memperoleh manfaat dan kebaikan daripadanya seterusnya terhindar daripada segala bentuk kemungkaran yang tidak Engkau redhai.
Sesungguhnya tugas sebagai guru adalah tugas yang mulia dan murni sepanjang zaman, justeru itu kurniakanlah kepada kami hati yang ikhlas dalam menyempurnakan tanggungjawab yang berat ini dengan sebaiknya. Dorongkanlah hati kami rasa kesungguhan, komitmen dan iltizam yang tinggi untuk membangun, membina serta mendidik dan memartabat anak bangsa yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara seterusnya menjadikan seluruh aktiviti dunia pendidikan sebagai ibadah semata-mata mengharapkan rahmat dan keredhaanMu.
Ya Allah, Ya Mudabbiral amri ,
Pada saat dan detik ini, kami rafa’kan kesyukuran penuh pengharapan, memohon ihsan dan pimpinan-Mu agar Engkau anugerahkan kami rasa kasih sayang terhadap anak-anak didik kami, sebagaimana kami mengasihi dan menyayangi anak-anak kami sendiri. Kurniakanlah kepada kami kesabaran yang mantap, ketabahan yang jitu, kerjasama yang tinggi, semangat permuafakatan yang padu dan semangat juang yang tidak mengenal erti putus asa dalam memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik dan berusaha menyumbang tenaga, idea dan kepakaran demi meningkatkan kualiti akademik dan ko-kurikulum pelajar-pelajar sekolah khasnya dan di arena pendidikan perdana amnya .
Allahumma Ya Hakim Ya Azim,
Satukanlah hati-hati kami, eratkanlah silatur rahim di kalangan kami. Hindarkanlah diri kami daripada perasaan iri hati sesama sendiri, cemburu nista buruk sangka, sifat malas lagi lemah, tidak berdaya lagi kurang bermaya dan segala sifat mazmumah yang pastinya menjatuhkan martabat kami sebagai pendidik seterusnya menggagalkan hasrat melahirkan generasi terbilang di negara kami..

No comments:

Post a Comment